Wednesday, February 11, 2009

Syarat-Syarat Laa Ilaha illallah

Ketika ada orang bertanya kepada Wahb bin Munabbih, "Bukankah Laa ilaha illallah itu kunci syurga?"

Ia menjawab, "Benar, namun tidak ada satu kunci pun melainkan mempunyai gigi. Jika engkau menggunakan kunci yang bergigi, barulah pintu akan terbuka. Jika tidak, ia tidak akan terbuka." (riwayat al-Bukhari)

Gigi-gigi kunci itu ialah syarat laa ilaha illallah sebagai berikut;

1. Mengetahui makna yang dimaksudkan, baik penafian (an-nafyu) atau penetapan (al-itsbat) yang dapat menghilangkan kejahilan.

Kerana itu ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada ilah kecuali ALLAH. (surah Muhammad; 47:19)

... kecuali orang yang menyaksikan akan kebenaran sedang mereka mengetahui. (surah az-Zukhruf; 43:86)

Maksudnya adalah bersaksi bahawa tiada tuhan selain ALLAH, sedang mereka mengetahui dengan hati, apa-apa yang diucapkan oleh lisan mereka.


ALLAH menyatakan bahawa tiada tuhan selain DIA, Yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang berilmu juga bersaksi sedemikian. Tiada tuhan selain DIA Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (surah Ali 'Imran; 3:18)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda; Barangsiapa meninggal sedang dia mengetahui bahawa tiada tuhan yang disembah selain ALLAH, maka dia masuk syurga. (HR Muslim, dari Utsman bin 'Affan)


2. Keyakinan yang dapat menghilangkan keraguan

Orang yang mengucapkannya harus benar-benar meyakini kandungan kalimah ini dengan keyakinan yang kukuh. Kerana dalam hal iman, keyakinan yang bermanfaat hanyalah 'ilm al-yaqin (pengetahuan yang pasti), bukan sekadar 'ilm az-zhon (asumsi).


Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA, kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan ALLAH. Mereka itulah orang-orang yang benar. (surah al-Hujurat; 49:15)

Rasulullah bersabda; "Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain ALLAH dan bahawa aku adalah utusan ALLAH. Tidak ada seorang hamba yang bertemu ALLAH dengan kedua-dua kalimah ini, dan tidak ragu tentangnya, kecuali masuk syurga." (HR Muslim, dari Abu Hurairah)

Dalam riwayat lain, "Tidak ada seorang hamba yang bertemu ALLAH dengan kedua-dua kalimah itu dan tidak ragu tentangnya, yang terhalang dari syurga."

Dari sebuah hadith yang panjang; "Siapa saja yang engkau temui di sebalik tembok ini, yang bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah selain ALLAH dengan keyakinan hatinya, sampaikan khabar gembira kepadanya dengan syurga." (HR Muslim, dari Abu Hurairah)

Imam al-Qurthubi mengatakan; "Dalam al-Mufhim 'ala Shahih Muslim, ada bab 'Tidak cukup sekadar melafazkan kalimah syahadatain, tapi harus dengan keyakinan hati.' Pengantar ini merupakan peringatan akan rosaknya aliran ekstrem Murji`ah yang mengatakan bahawa melafazkan syahadatain cukup dalam hal keimanan. Hadith-hadith dalam bab ini menunjukkan rosaknya aliran tersebut. Bahkan setiap individu yang memahami syariat mengetahui kerosakan aliran tersebut.

Di samping itu, kerana natijahnya ialah membenarkan kemunafikan, padahal menghukum orang munafiq dengan keimanan yang benar, jelas merupakan suatu kebatilan." (Fathul Majid)


3. Menerima konsekuensi kalimah ini dengan hati dan lisan.

ALLAH menceritakan kepada kita tentang berita umat terdahulu, berupa penyelamatan orang yang menerimanya dan penyiksaan orang yang menolak dan mengabaikannya.

Dan demikianlah, KAMI tidak mengutus sebelum kamu seorang pemberi peringatan pun dalam suatu negeri, melainkan orang-orang berlebihan dalam negeri itu berkata, "Sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami menganut suatu agama, dan sesungguhnya kami adalah para pengikut jejak mereka." Rasul pun berkata, "Apakah kalian akan mengikuti juga, sekalipun aku membawa untuk kalian agama yang lebih memberi petunjuk daripada apa-apa yang kalian dapati dianut oleh bapa-bapa kalian?" Mereka menjawab, "Sesungguhnya kami mengingkari agama yang kamu diutus dengannya!" Maka akhirnya KAMI menyeksa mereka. Kerana itu perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu. (surah az-Zukhruf; 43:23-25)


Kemudian KAMI selamatkan rasul-rasul KAMI dan orang-orang yang beriman. Demikianlah, adalah menjadi kewajipan KAMI untuk menyelamatkan orang-orang yang beriman. (surah Yunus; 10:103)

Sesungguhnya mereka dahulu, apabila dikatakan kepada mereka 'Laa ilaha illallah', mereka menyombongkan diri. Mereka mengatakan, "Apakah kami harus meninggalkan tuhan-tuhan sembahan kami hanya untuk mengikuti seorang penyair gila?" (surah as-Shaffat; 37:35-36)


4. Tunduk kepada kandungan kalimah dan menolak untuk meninggalkannya.

Kembalilah kepada TUHANmu dan berserah dirilah kepada-NYA. (surah az-Zumar; 39:54)

Siapakah yang lebih baik agamanya dibanding orang yang menyerahkan wajahnya kepada ALLAH, dan dia adalah orang yang mengerjakan kebajikan. (surah an-Nisa; 4:125)

Barangsiapa menyerahkan wajahnya kepada ALLAH, sedang dia adalah orang yang berbuat kebajikan, sesungguhnya dia telah berpegang pada tali yang paling kukuh. (surah Luqman; 31:22)

Dalam hadith disebutkan; "Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehinggalah hawa nafsunya tunduk kepada ajaran yang aku bawa." (HR

Demikianlah kesempurnaan dan puncak ketundukan;


Maka demi TUHANmu, mereka itu tidak beriman sebelum menjadikan kamu sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan. Kemudian mereka tidak mendapati suatu keberatanpun dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, lalu mereka menerima sepenuhnya. (surah an-Nisa`; 4:65)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya mengatakan; "ALLAH bersumpah dengan diri-NYA Yang Mulia lagi Suci, bahawa seseorang belum beriman sehingga ia menjadikan Rasulullah sebagai hakim dalam segala persoalan. Apa sahaja yang diputuskan oleh Nabi adalah kebenaran yang wajib dipatuhi secara lahir dan batin. Kerana itu ALLAH mengatakan; "Kemudian mereka tidak mendapati keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerimanya dengan sepenuhnya."

5. Jujur, tidak dusta.

Mengucapkan secara jujur dari hatinya, lidahnya sejalan dengan hatinya.

ALiif Laam Miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan 'Kami beriman,' sedang mereka tidak diuji? Sesungguhnya KAMI telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang jujur, dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta. (surah al-Ankabut; 29:1-3)

Dan di antara manusia ada yang mengatakan; 'Kami beriman kepada ALLAH dan hari akhirat,' padahal mereka itulah sebenarnya bukanlah orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu ALLAH dan orang-orang yang beriman, padahal pada hakikatnya mereka hanya menipu diri mereka sendiri, sedang mereka tidak sedar. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ALLAH menambah lagi suatu penyakit kepada mereka. Bagi mereka siksa yang pedih disebabkan mereka itu berdusta. (surah al-Baqarah; 2:8-10)

Dalam sebuah hadith; Tiada seorang pun yang bersaksi bahawa tiada tuhan selain ALLAH dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-NYA dengan jujur dari hatinya, kecuali ALLAH mengharamkannya disentuh api neraka. (HR al-Bukhari dan Muslim, dari Muaz bin Jabal)

Ibnul Qayyim berkata; "Membenarkan Laa ilaha illallah menuntut adanya ketundukan dan pengakuan hak-haknya, iaitu syariat Islam yang merupakan penjabaran kalimah tauhid ini, dengan membenarkan seluruh beritanya, menunaikan perintah-perintahnya dan menjauhi larangan-larangannya. Orang yang membenarkan kalimah ini pada hakikatnya adalah orang yang melakukan itu semua. Adalah sudah maklum bahawa terpeliharanya harta dan darah secara mutlak, tidak akan ada kecuali dengan kalimah itu dan dengan menunaikan haknya. Demikian juga keselamatan dari azab secara mutlak, tidak akan terjadi kecuali dengan kalimah ini dan dengan menunaikan haknya." (at-Tibyan fi Aqsamil Quran)

Rasulullah bersabda; Syafaatku adalah untuk orang yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain ALLAH secara tulus ikhlas, hatinya membenarkan lisannya dan lisannya membenarkan hatinya. (HR al-Hakim dan dia mensahihkannya, dan disepakati az-Zahabi)

Ibnu Rajab dalam 'Kalimah al-Ikhlas' mengatakan; "Adapun orang yang mengucapkan Laa ilaha illallah dengan lidahnya, kemudian ia mentaati syaitan, kecenderungannya adalah maksiat dan menentang ALLAH, maka sebenarnya perbuatannya itu telah mendustakan perkataannya. Kesempurnaan tauhidnya terkurangi sesuai dengan kadar kemaksiatannya kepada ALLAH dalam menuruti syaitan dan hawa nafsunya.

Dan siapakah yang lebih sesat berbanding orang yang mengikuti hawa nafsunya tanpa petunjuk dari ALLAH. (surah al-Qasas; 28:50)

Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkanmu dari jalan ALLAH. (surah Shaad; 38:26)


6. Ikhlas - memurnikan amal perbuatan dari pelbagai noda kemusyrikan dengan niat yang baik.

Ingatlah, hanya kepunyaan ALLAH lah agama yang bersih (dari kemusyrikan). (surah az-Zumar; 39:3)

Mereka itu tidak diperintah kecuali untuk menyembah ALLAH dengan memurnikan kepatuhan kepada-NYA dalam menjalankan agama secara lurus. (surah al-Bayyinah; 98:5)

Rasulullah bersabda; Orang yang paling berbahagia dengan syafaatku adalah orang yang mengucapkan Laa ilaha illallah secara tulus ikhlas dari hatinya (atau dari jiwanya). (HR al-Bukhari, dari Abu Hurairah)

Sesungguhnya ALLAH mengharamkan api neraka, atas orang yang mengucapkan Laa ilaha illallah dengan maksud mengharapkan redha ALLAH 'azza wa jalla. (HR Muslim, dari Utbah bin Malik)

Fudhail bin 'Iyadh berkata; "Sesungguhnya amal perbuatan jika sudah ikhlas namun tidak benar, tidak akan diterima. Jika benar namun tidak ikhlas juga tidak diterima, sebelum menjadi amal yang ikhlas dan benar. Ikhlas jika hanya kerana ALLAH, dan benar bererti mengikuti sunnah."


ALLAH membuat perumpaan seorang budak (hamba) yang dimiliki oleh beberapa orang yang bersyarikat lagi berselisih, dan seorang budak yang menjadi milik penuh satu orang sahaja. Adakah kedua-duanya sama? (surah az-Zumar; 39:29)

Sesungguhnya dalam Islam, harus ada penyerahan diri dan kepatuhan hanya kepada ALLAH sahaja dan meninggalkan kepatuhan kepada selain-NYA. Inilah hakikat Laa ilaha illallah. Kerana itu sesiapa yang patuh kepada ALLAH dan patuh juga kepada selain ALLAH adalah musyrik, padahal ALLAH tidak mengampuni dosa syirik. Sedangkan orang yang tidak patuh kepada-NYA bererti sombong;


Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-KU, mereka akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina. (surah al-Mukmin; 40:60)


7. Menyintai kalimah ini, apa-apa yang menjadi natijah dan kandungannya, menyintai orang-orang yang memiliki, mengamalkan, komitmen dengan syarat-syaratnya, dan membenci segala yang dapat menggugurkan hal itu.


Di antara manusia ada orang yang mengambil tnadingan-tandingan selain ALLAH. Mereka menyintainya sebagaimana mereka menyintai ALLAH. Adapun orang-orang yang beriman sangat besar cinta mereka kepada ALLAH. (surah al-Baqarah; 2:165)


Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kalian murtad dari agamanya, maka kelak ALLAH akan mendatangkan suatu kaum yang ALLAH menyintai mereka dan merekapun menyintai-NYA. Mereka bersikap lemah lembut terhadap orang-orang beriman, dan bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir. Mereka berjihad di jalan ALLAH dan tidak takut celaan orang-orang yang mencela. (surah al-Maa`idah; 5:54)

Rasulullah bersabda; Ada 3 hal, barangsiapa dalam dirinya ada ketiga-tiganya, akan mendapatkan manisnya iman; (1) apabila ALLAH dan Rasul-NYA lebih ia cintai daripada selain kedua-duanya, (2) apabila ia menyintai seseorang yang lain, tidak ia cintai kecuali kerana ALLAH, (3) dan apabila ia benci untuk kembali kepada kekafiran setelah ALLAH menyelamatkannya dari kekufuran itu, sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka. (HR al-Bukhari)

Syeikh Hafiz al-Hakami mengatakan; "Indikasi kecintaan seorang hamba kepada TUHANnya adalah mendahulukan cinta-NYA sekalipun hawa nafsunya menentangnya; membenci apa-apa yang dibenci TUHANnya, sekalipun hawa nafsunya cenderung kepadanya; memberikan loyalitas kepada orang yang loyal kepada ALLAH dan Rasul-NYA, memusuhi orang yang memusuhi-NYA; mengikuti Rasul-NYA, meniti jejaknya; dan menerima petunjuknya." (Ma'arij al-Qulub)

Ibnul Qayyim dalam an-Nuniyah; "Syarat kecintaan adalah engkau sejalan dengan siapa yang engkau cintai demi cintanya tanpa mendurhakainya. Jika engkau mengaku menyintainya tapi engkau menentang hal yang dicintainya, bererti engkau bohong. Pantaskah engkau menyintai musuh kekasihmu, sementara engkau mengakui menyintainya? Itu tidak mungkin. Selain itu engkau juga sering memusuhi orang-orang yang dicintainya. Mana cinta itu wahai saudara Syaitan?! Bukanlah ibadah jika tidak menyatukan kecintaan, disertai ketundukan hati dan anggota badan."

Dalam kitab yang sama; "Kita lihat kemusyrikan yang sangat jelas pada kelompok-kelompok yang mengaku Islam. Mereka menjadi sekutu-sekutu bagi ALLAH, loyal dan menyetarakan mereka dengan-NYA dalam kecintaan, bukan dalam kekuasaan."

Min Mafahim 'Aqidatis Salafus Solih: alWala` wal Bara` fil Islam (edisi terjemahan: al-Wala` wal Bara`; Loyalitas dan Anti Loyalitas dalam Islam) - Muhammad bin Sa'id al-Qahthani.

0 comments:

Post a Comment