Friday, February 20, 2009

Tashfiyyah (Pembersihan Diri)

Ibnu Ishaq menceritakan; Kemudian Abu Khaitsumah kembali kepada keluarganya setelah Rasulullah pergi berhari-hari pada hari yang terik itu. Ia dapati kedua-dua isterinya di bilik masing-masing dalam rumah, siap untuk melayaninya. Disediakan untuknya air dingin dan makanan.

Tatkala masuk, ia terpaku di depan pintu kamar isterinya sambil memandang kedua-dua isterinya dan apa-apa yang dilakukan untuknya, lalu ia berfikir; ‘Sementara Rasulullah tengah berada di terik matahari pagi dan dinginnya malam, Abu Khaitsumah pula dalam lindungan teduh, makanan terhidang dan wanita cantik, di antara hartanya yang bernilai dan ini semua belum separuhnya. Demi ALLAH, aku tidak akan memasuki peraduan kalian sebelum menyusul Rasulullah. Siapkan perbekalan!’ Lantas kedua-dua isterinya pun menuruti perintahnya.

Kemudian ia bergegas keluar mencari Rasulullah hingga dapat menyusulnya di Tabuk. Di perjalanan, ia menemui Umair bin Wahb al-Jahmahi yang juga hendak mencari Rasulullah. Mereka akhirnya bersama-sama hingga mendekati Tabuk.

Abu Khaitsumah berkata kepada Umair; ‘Aku sedang menanggung dosa. Janganlah kamu mengikutiku hingga aku menyusul Rasulullah dahulu.’

Ia langsung meninggalkan Umair, hingga ketika mendekati Tabuk para sahabat berkata; Seorang penunggang kuda di jalan itu sedang menuju ke sini.’ Rasulullah berkata; ‘Ia pasti Abu Khaitsumah.’

Ketika sampai, ia menemui Rasulullah dan mengucapkan salam kepadanya. Baginda bertanya; ‘Ada apa denganmu, wahai Abu Khaitsumah?’

Ia menceritakan semuanya kepada Rasulullah dan baginda berkata; ‘Baiklah.’ Kemudian baginda mendoakannya dengan kebaikan.


TAKRIF TASHFIYYAH


Pada peristiwa tersebut, tampak seorang sahabat yang mulia; Abu Khaitsumah, sedang melewati kondisi lemah dan futur yang membuatnya memisahkan diri dari perjalanan bersama-sama Rasulullah ke Tabuk. Tapi tatkala melihat isteri-isterinya dan apa-apa yang diperbuat untuknya, mendadak detik itu juga ia teringat bayangan Rasulullah dan para sahabat. Mereka sedang bergelut dengan angin beracun, debu panas dan udara menyengat yang terpancar dari langit. Ia ingin membersihkan dirinya atas pembelotan ini dan bertekad menyusul secepatnya dengan mengenderai kuda.

Sungguh, apa yang dilakukan oleh Abu Khaitsumah adalah suatu bentuk tashfiyyah, pembersihan diri secara berterusan dengan beribadah dari semua debu yang mencoreng kesuciannya, dan debu itu bisa menghambat dan menghalanginya dari syurga, jika kadar dan kapasitinya kian bertambah mengakar.

Tidak mudah mengetahui debu-debu itu tanpa dilakukan muhasabah pada saat-saat sucinya. Inilah yang dilakukan oleh sahabat Abu Khaitsumah.

Syeikh Muhammad Jamal al-Qasimi berkata; “Barangsiapa yang menghisab dirinya (muhasabah) sebelum dihisab, ringanlah hisabnya nanti pada hari akhirat. Ia memiliki jawapan ketika ditanya, bagus tempat kembali dan tempat tinggalnya. Barangsiapa tidak menghisab dirinya, kekallah penyesalannya, lama berdirinya di hamparan kiamat, kejahatannya mengakibatkan kehinaan dan kemurkaan. Maka seharusnya bagi semua yang beriman kepada ALLAH agar tidak mengabaikan muhasabah dirinya. Konsentrasi terhadap gerak dan diamnya, serta akibat dari semuanya.”


MACAM-MACAM KOTORAN

Ibadah harus dibersihkan dari pelbagai macam kotoran yang menghinakan, yang berbentuk;

1. Riya`. Seorang Muslim harus mengawasi amal dan perkataannya. Jika memang untuk ALLAH maka dibiarkannya, dan jika untuk selain-NYA maka dijauhi. ALLAH tidak menerima suatu amal sehingga benar-benar bersih untuk-NYA semata.

2. Semua maksiat.

3. Jahl (kebodohan). Amal yang benar adalah salah satu syarat penerimaan di sisi ALLAH. Ia harus yakin bahawa amal yang ia lakukan benar-benar atas dasar sunnah tanpa melanggarnya. Tetapi jika ia tidak mengetahui satu perkara bersegeralah mempelajarinya.

4. Futur. Ada 2 bahagian; futur untuk melaksanakan kewajipan dan futur dalam melakukan amal nafilah (sunat). Yang lebih berbahaya adalah futur yang berkaitan dengan kewajipan. Seseorang wajib segera bermuhasabah sesering mungkin sebelum terlanjur menjadi penyakit

Jenis inilah yang menimpa Abu Khaitsumah, tetapi ia segera menyedari dan mencari penyembuhnya, sehingga mendapat pujian dari Rasulullah.

Demikian pula yang menimpa 3 orang sahabat pada perang yang sama; Ka’ab bin Malik, Hilal bin Umayyah dan Murarah bin Rabi’. Mereka pun melakukan tashfiyyah, namun sayang agak terlambat, sehingga Rasulullah memberi hukuman dengan pemboikotan total yang memberikan guncangan besar dalam diri mereka. Pada akhirnya mereka bertaubat kepada ALLAH setelah selang beberapa waktu lamanya.

Adapun futur yang berkaitan nawafil (ibadah sunat), maka faktornya ialah lemahnya kemahuan dalam mencari pangkat tertinggi di akhirat. Ia lalai atas kematian yang memutuskan segala amal, tidak menyedari kepentingan waktu, asyik dengan segala aktiviti yang melalaikannya dari menunaikan nawafil dan menyerah terhadap tuntutan hawa nafsu yang menolak untuk komitmen dalam melakukan ketaatan.

Jika seorang hamba mengetahui nawafil adalah sebab utama memperoleh cinta ALLAH, maka tashfiyyah itu selayaknya dilakukan sekerap mungkin demi memperoleh kemuliaan teragung. Hidup kita di dunia ini adalah untuk mendapat kemuliaan itu.

5. Ujub. Adalah perangai terburuk yang mendera manusia. Dari sini lahirnya pelbagai macam halangan dan yang paling menonjol adalah sikap kibr (kesombongan).

Rasulullah bersabda; Ada 3 perkara yang menyelamatkan dan 3 perkara yang membinasakan. Adapun yang menyelamatkan adalah (1) taqwa kepada ALLAH dalam kesendirian dan terang-terangan, (2) berkata benar saat senang dan benci dan (3) hemat ketika mampu (kaya) dan melarat (miskin). Sedang yang membinasakan adalah (1) hawa nafsu yang dituruti, (2) kebatilan yang ditaati dan (3) ujubnya seseorang pada diri sendiri. (HR al-Baihaqi)

Kiat penyembuhan ujub adalah dengan amal yang diiringi rasa khawatir tidak diterima amalan, mengingat kemarahan ALLAH dan hidayah-NYA, mengingat bahawa posisi tertinggi di sisi-NYA hanya mampu diraih dengan ibadah dan rasa takut akan su`ul khatimah.


CARA TASHFIYYAH

Cara tashfiyyah itu banyak. Di antaranya dan yang tertinggi ialah muhasabah. Merenungi amalan adalah bahagian asas dari proses muhasabah.

Seorang zuhud, Hatim al-Asham berkata; “Barangsiapa yang mengalihkan 4 perkara kepada 4 perkara, maka ia akan mendapati syurga: (1) tidur kepada kubur, (2) kesombongan kepada mizan (timbangan amal), (3) hidup santai kepada shirath (jambatan pada hari kiamat) dan (4) syahwat kepada syurga.”

Barangsiapa mengingati kubur, ia tidak akan mempergunakan waktunya untuk memperbanyakkan tidur, demikian juga mereka yang mengingati akan telitinya mizan pada hari kiamat. ALLAH berfirman;

Sesungguhnya yang paling mulia di sisi ALLAH di antara kalian adalah orang yang paling bertaqwa. (surah al-Hujurat; 49:13)

Demikian apabila meninggalkan ujub dan kebanggan terhadap segala urusan dunia. Barangsiapa yang mengingati akan apa yang ada di bawah shirath, nescaya ia akan meninggalkan kemalasan, kehidupan santai dan futur. Barangsiapa yang membayangkan kenikmatan syurga, mengkeretlah di hadapannya syahwat dunia.


TASHFIYYAH TOTAL

Ini merupakan salah satu sebab mendapat jaminan keamanan dari bahaya su’ul khatimah. Barangsiapa yang masih menghidap sebahagian penyakit yang telah disebutkan sebelum ini, ia belum aman dari su`ul khatimah, belum selamat dari tergelincir ketika melewati shirath dan belum berhak memperoleh predikat muttaqin dan orang-orang yang menjaga harga diri.

Abdullah bin Mubarak meriwayatkan kata-kata Amirul Mukminin; “Jika seseorang memiliki 100 macam namun tidak memiliki 1 macam, ia tidak termasuk orang-orang yang bertaqwa. Dan barangsiapa yang menjaga diri dari 100 macam tapi tidak menjaga diri dari 1 macam, tidaklah ia termasuk dalam kalangan orang yang wara’ (menjaga diri). Barangsiapa yang pada dirinya terdapat 1 macam kebodohan maka dia termasuk orang-orang yang bodoh. Tidakkah engkau mendengar firman ALLAH kepada Nabi Nuh ketika dia berkata;

Sesungguhnya anakku adalah dari termasuk keluargaku. (surah Hud; 11:45)

Maka ALLAH berfirman; ‘AKU menasihatimu agar kamu jangan sampai tergolong orang-orang bodoh. (surah Hud; 11:46)

Tashfiyyah secara total adalah keharusan bagi orang yang menghendaki ketinggian. Jika tidak, maka tempatnya adalah bersama-sama mereka yang terlambat, bersama-sama mereka yang berkemahuan rendah.
Waqafat Tarbawiyah fis Sirah an-Nabawiyah (Rambu-Rambu Tarbiyah dalam Sirah Nabi) – Abdul Hamid Jasim al-Bilali

0 comments:

Post a Comment